Berita Utama

PAS seolah-olah tenggelam dalam arus politik semasa

Rakyat kini keliru dengan kedudukan, perjuangan PAS

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – “PAS seolah-olah tenggelam dalam arus politik hari ini. Apakah sama ada PAS terkejut menjadi pemerintah. Itu kerisauan yang dilihat oleh rakyat tentang kedudukan PAS hari ini,” demikian kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata, parti PAS sebagai sebahagian daripada kerajaan, tidak dinafikan mungkin mempunyai cara tersendiri dalam melakukan gerak kerjanya.

Bagaimanapun, tegasnya, dunia politik hari ini banyak bermain dengan persepsi yang mana dilihat salah satu perkara yang gagal dikuasai oleh PAS.

“Kegagalan media PAS untuk membentuk naratif bahawa mereka memperjuangkan agenda secara konsisten sedikit sebanyak memberi kesan. Bukan sahaja PAS, tetapi juga parti-parti lain kita belum nampak agenda tuntas. 

“Baik dari segi pembangunan negara, ekonomi dan sebagainya, gagal dimainkan oleh mana-mana parti untuk memberikan keyakinan kepada rakyat,” katanya dalam PROLOG: Ada Apa Dengan PAS yang disiarkan secara langsung di laman Facebook dialektikatv, malam ini.

Mengulas lanjut pandangannya, Aminuddin berkata, pada awalnya rakyat ‘sujud syukur’ melihat penggabungan PAS dan UMNO kerana ia dilihat seperti satu penyelesaian yang menyeluruh.

“Tetapi sekarang kita pun tak tahu sama ada PAS ‘duduk’ dalam Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN). Orang keliru. Adakah dia hanya ‘king maker’ atau macam mana?

“Sepatutnya kena ada satu kenyataan yang jelas tentang pendirian PAS. Ramai orang dah mula muak sangat. Jadi parti-parti harus mengangkat lebih sikit agenda mereka. Iaitu dengan mengemukakan penyelesaian daripada terlibat dengan pertelagahan politik ketika ini,” katanya.

Antara isu yang menjadi perhatian rakyat ketika ini adalah pencemaran, pencerobohan tanah, kekurangan tanah Bumiputera Melayu dan banyak lagi, kata Aminuddin.

“Isu ini nampak simple, tapi Melayu nampak ini isu sensitif. Tindakan daripada parti-parti sedia ada dalam isu ini, rakyat tak nampak secara tuntas. Harapan rakyat tidak memenuhi apa yang dijangkakan. 

“Naratif ini harus diambil secara serius oleh pimpinan parti agar dapat menenangkan rakyat, dan melihat PAS sebagai satu alternatif yang baik. Jika tidak orang nampak PAS ini sama sahaja dengan parti lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button