Berita Utama

PH hantar tiga nama anggotai jawatankuasa khas bebas darurat

Pendirian masih tak berubah, mahu darurat ditamatkan segera

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan nama tiga Ahli Parlimen untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa khas bebas yang akan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai keadaan darurat.

Mereka ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru), Anthony Loke (Ahli Parlimen Seremban) dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor).

Saifuddin, yang juga Setiausaha Agung PH mengatakan, surat rasmi telah dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan mengenai pencalonan nama tersebut.

“Perwakilan pembangkang ke dalam jawatankuasa bebas khas ini tidak mengubah pendirian kami bahawa alasan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri mengenai perlunya pengisytiharan darurat masih tidak dapat diterima.

“Kami dan majoriti Ahli Parlimen juga percaya bahawa pengisytiharan darurat ini perlu berakhir dan Parlimen perlu bersidang semula tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Saifuddin, Loke dan Datuk Dr Hatta Ramli dari Parti Amanah Negara (PAN).

Jawatankuasa bebas khas itu bertujuan memberi nasihat kepada Agong mengenai berapa lama tempoh darurat diperlukan agar keadaan menjadi teratur.

Pada 12 Januari, Yang di-Pertuan Agong telah memutuskan agar darurat berkuat kuasa sehingga 1 Ogos atau lebih awal sekiranya jumlah kes COVID-19 dapat dikendalikan dan dikurangkan dengan berkesan.

Keadaan darurat dikuatkuasakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk mengekang wabak COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button