Berita Utama

Rakyat bimbang PAS jadi parti ‘syok sendiri’

Apa perjuangan sebenar PAS, apakah ia mampu dilihat sebagai parti masa depan negara?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – PAS perlu menaikkan tahap pemikiran daripada hanya menjadi sebagai ‘king maker’ dalam kerajaan atau pun bergelar pemerintah di negeri-negeri Melayu tradisinya kepada menjadi pemerintah di negara sendiri. 

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, jati diri PAS sememangnya kuat dan kekuatan ini patut digunakan dengan sebaik mungkin.

Beliau menegaskan, PAS perlu mengangkat agenda mereka daripada faktor penyatu bangsa kepada menjadi ‘pemimpin’. 

“Corak pemikiran perlu ditinggikan. Bukan setakat menyasarkan negeri-negeri, tetapi kepada negara. 

“Jika dilihat negeri-negeri yang PAS pegang, pendapatan mereka adalah terendah berbanding dengan Johor, Selangor, Perak. 

“Mungkin bagi PAS itu satu benda yang bagus. Tapi bagi rakyat ‘middle class’ untuk memberikan sokongan, ini tak cukup kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangn ‘PROLOG: Ada Apa Dengan PAS’ yang disiarkan secara langsung di laman Facebook dialektikatv, malam ini.

Selain itu, Aminuddin menegaskan, jika orang Melayu memerintah, tetapi isi kandungan yang dibawanya tiada agenda untuk memperjuangkan Islam dan Melayu, maka ia adalah sia-sia.

“Kerana sebenarnya pada pandangan saya, Melayu juga bangsa yang didiskriminasi di negara ini. Semua yang orang Islam nak buat tak boleh. Hendak laksana pengajaran tulisan Jawi ditentang habis-habisan, hendak alunkan bacaan al-Quran sebelum azan juga tak boleh di beberapa negeri.

“Hendak perkasakan bahasa Melayu pun susah, tanah-tanah kita pun banyak dah diambil. Jadi, siapa yang terpinggir di negara ini sebenarnya?

“Ini yang sepatutnya dikemukakan oleh PAS, dijelaskan naratif ini dalam media. Supaya PAS boleh dilihat sebagai parti masa hadapan negara,” katanya.

PAS juga diharapkan lebih bersifat inklusif dalam perjuangan mereka dan bukan hanya inklusif dengan parti-parti besar yang lain, tetapi juga parti yang berada di dalam Gagasan Sejahtera itu sendiri, kata Aminuddin.

Antara parti yang terlibat dalam Gagasan Sejahtera adalah Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

“Jangan dikesampingkan parti-parti itu. Begitu juga NGO-NGO yang masih tidak disantuni PAS. Inklusif ini amat penting. Kerana jika tidak, kita bimbang nanti PAS jadi parti syok sendiri,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button