Berita Utama

Tak mustahil DAP gagal kekalkan kerusi di Parlimen

Dominan Cina menjurus kepada keadaan tidak menentu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Tidak mustahil DAP akan gagal mengekalkan bilangan kerusi di Parlimen sedia ada susulan pola pengundian orang Cina yang dilihat sedikit berubah sejak ketidakstabilan politik pada awal 2020.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DAP mendapat sokongan besar bukan sahaja daripada orang Cina bahkan kalangan Melayu yang memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) atas matlamat untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bahkan janji dan manifesto PH ketika itu berhubung isu ekonomi, 1MDB, harga minyak dan harga barang berjaya menarik sokongan rakyat.

Bagaimanapun setelah janji itu gagal dipenuhi, maka orang Melayu mula memikirkan tindakan mereka begitu juga dengan pengundi Cina yang berharap dengan sokongan besar kepada PH akan membentuk kerajaan dominan Cina.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid mendakwa, terbukti bahawa dominan Cina itu tidak membawa kestabilan dalam PH kerana tanpa sokongan majoriti Melayu, berlakunya keadaan tidak menentu seperti pada Februari tahun lepas hingga sekarang.

“Orang Cina mahukan keadaan aman untuk menjalankan perniagaan, sekarang timbul pendapat tinjauan saya bahawa mereka tidak mahu keadaan begini kerana ekonomi tidak stabil dan perniagaan tidak berjalan dengan lancar.

“Justeru kemungkinan orang Cina akan pergi (mengundi) kepada Perikatan Nasional (PN) dan akan berlaku satu penyusunan semula,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS mampu menjadi parti dominan dalam Muafakat Nasional (MN) mahupun dalam kerajaan.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Noor Mat mendakwa, walaupun mendapat sokongan orang Cina, agak sukar untuk PN memperoleh dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Namun beliau yakin sekiranya PAS serius bekerjasama dengan PN serta parti Sabah dan Sarawak, tidak mustahil boleh membentuk sebuah kerajaan yang majoriti besar daripada apa yang berlaku sekarang.

“Pengundi juga tidak akan lagi membuat pilihan yang salah kerana kesalahan yang berlaku memberi kesan kepada ketidakstabilan politik, ekonomi, sosial dan semua yang berkait rapat.

“Saya rasa PAS akan menjadi salah sebuah parti yang akan menentukan pola pengundian orang-orang Melayu khususnya kepada sebuah parti dominan dan membentuk satu kumpulan yang lebih besar dan menjadi sebuah parti dalam kerajaan yang terjamin.

“Ini kerana kita lihat ketidakstabilan itu kerana tiada parti Melayu dominan di dalam kerajaan,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button