Berita Utama

61,773 warga asing belum buat saringan COVID-19

TF-PSKC-19 akan melaksanakan lawatan pengesanan terhadap majikan

KUALA LUMPUR, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Sebanyak 36,089 pekerja warga asing dilaporkan sudah membuat saringan COVID-19 setakat 14 Januari lalu.

Namun, masih berbaki 61,773 belum membuat saringan – daripada jumlah keseluruhan 97,862 – dikenal pasti menerusi Task Force Program Saringan Kesihatan (TF-PSKC-19).

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkata, kerajaan memutuskan majikan yang menggajikan pekerja asing hendaklah memastikan mereka menjalani ujian saringan bermula dari 1 Disember tahun lalu.

Bagi majikan yang masih belum menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada pekerja asing ketika pemeriksaan dijalankan, mereka akan diberikan Notis Saringan COVID-19 KSM bagi menjalani ujian itu.

Justeru, untuk memastikan majikan mematuhi arahan, Kementerian Sumber Manusia menubuhkan TF-PSKC-19 membabitkan tiga agensi dan jabatan iaitu JTKSM, Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“TF-PSKC-19 ini melaksanakan lawatan pengesanan terhadap majikan yang gagal memastikan pekerja asingnya menjalani ujian saringan kesihatan COVID-19,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Hari ini, 3,631 kes baharu direkodkan dengan 18 kematian, jumlah korban tertinggi dilaporkan dalam sehari.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan kes kematian akibat pandemik maut itu sehingga kini ialah 660, sementara kumulatif kes baharu 176,180 dengan kes aktif 42,814.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button