Britain kecam Israel luluskan ribuan penempatan haram Yahudi
Itali, Perancis, Arab Saudi turut kutuk tindakan negara penjajah

LONDON, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat –Britain mengecam keputusan negara haram Israel membina ribuan unit penempatan Yahudi di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.
Setiausaha Luar Negerinya, Dominic Raab berkata, tindakan berkenaan memberi risiko kepada penyelesaian dua negara.
“UK (United Kingdom) berulang kali mendesak Israel untuk menghentikan rancangan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat.
“Keputusan untuk meneruskan perkara itu di Giat HaMatos (sebuah kawasan di Baitulmqadis) telah memisahkan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur dari Bethlehem selain mengancam penyelesaian antara dua negara,” katanya menerusi laman Twitter.
Kenyataan itu dikeluarkan setelah Israel pada awal minggu ini bertindak meluluskan 2,572 unit penempatan haram di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki.
Meskipun sekutu Israel beberapa kali memberi amaran bahawa pembinaan haram itu tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa, namun negara haram itu tidak mengendahkannya, sebalikanya tetap meneruskan pembinaan penempatan itu.
Di sebalik memberi alasan pembinaan itu sebagai proses perdamaian, Israel sememangnya mahu menjajah seluas mungkin tanah Palestin.
Selain Britain, beberapa negara lain termasuk Itali, Perancis dan Arab Saudi turut mengutuk tindakan meluluskan penempatan haram berkenaan. -Agensi