Berita Utama

Kenaikan harga bahan asas binaan beri kesan kepada rakyat

Jika kerajaan tak beri perhatian bimbang harga rumah terus meningkat: Zahid

BANGI, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Kenaikan harga bahan asas dalam industri pembinaan dibimbangi akan menyebabkan harga rumah terus meningkat sekiranya tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

Bukan hanya memberi impak kepada rakyat, malah isu itu turut memberi kesan kepada industri hiliran, kecil dan sederhana, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian mengulas keluhan Guild of Bumiputera Contractors Berhad (WIBAWA) berhubung kenaikan mendadak harga bahan asas dalam industri binaan khususnya besi.

“Kenaikan antara 30 hingga 40 peratus itu didakwa akan memberi impak negatif bukan saja terhadap kontraktor dan pemaju, tetapi juga rakyat.

“Ia didakwa berisiko menyebabkan ramai kontraktor, pemaju bergelut dengan kesulitan kewangan sekali gus menyumbang kepada lambakan projek terbengkalai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyarankan supaya pihak berkuasa dalam negara dan pemain industri untuk duduk berbincang bagi mencari penyelesaian yang bersifat dua pihak demi kepentingan rakyat.

“Saya berasa bimbang kemelut ini jika tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan akan menyebabkan harga rumah terus meningkat,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi WIBAWA, Datuk Md Nasir Ibrahim berkata, setiap projek sedia ada terjejas kerana kontraktor dan pemaju tidak mampu menanggung kerugian besar akibat kenaikan harga semasa bahan utama.

Katanya, kontraktor dan pemaju terpaksa menghentikan sementara pembelian sehingga keadaan harga kembali normal dan  tidak membebankan.

“Kesan kenaikan harga bahan asas binaan ini boleh dilihat menerusi media sosial kontraktor dan pemaju yang secara terbuka ingin mengkaji semula harga rumah, perkhidmatan dan produk mereka sekali gus menimbulkan persepsi tidak baik dalam pasaran hartanah dan perkhidmatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button