Berita Utama

MCA tetap berkeras mahu kerusi majoriti Melayu?

Jangan ikut rentak DAP, lambat-laun Melayu boleh hilang sabar

BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Pelik apabila parti berasaskan kaum, MCA seolah-olah marah selepas dinasihat supaya fokus merebut lebih 140 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki DAP, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya. 

“Saya tidak faham mengapa saya dilabel perkauman. Saya hanya menegur MCA supaya tidak sibuk merebut kerusi majoriti Melayu dari parti-parti Melayu terutama dari UMNO. 

“Malah, saya menasihati supaya MCA fokus merebut kerusi-kerusi milik DAP yang mempunyai lebih 40 kerusi Parlimen dan lebih 100 lagi kerusi DUN. Mengapa MCA marah pula.

“Apakah MCA tidak sanggup merampas kerusi-kerusi yang terlalu banyak ini dari DAP atau MCA sebenarnya tamakkan kerusi sahaja? Walaupun menjadi lubuk kehilangan kerusi BN dalam PRU-14 dahulu, jawatan menteri masih dapat, jawatan GLC masih dapat, jawatan senator masih dapat. Itu pun masih tidak cukup ya?,” soalnya.

Terdahulu, Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok mendakwa respon Haji Aminuddin berhubung kenyataannya mengenai masyarakat Cina mula tolak DAP, mempunyai emosi perkauman.

Kenyataan Chin Kok itu sebagai membidas semula kenyataan Aminuddin yang menyarankan supaya MCA merampas kerusi dimiliki DAP berbanding menuntut atau meminta kerusi yang sepatutnya diletakkan calon Melayu muslim. 

Chin Kok mendakwa bahawa Barisan Nasional (BN) – yang ditunjangi UMNO, MCA dan MIC – mewakili seluruh rakyat dan konsep keadilan dalam parti itu juga tidak mewakili kaum serta warna kulit.

“Presiden ISMA perlu sedar BN bukan sebuah parti satu kaum. BN mewakili semua kaum Melayu, Cina, India dan minoriti kecil yang lain.

“Jika BN hanya mewakili satu kaum sahaja bagaimana kita hendak membina sebuah negara yang rakyatnya hidup harmoni dan saling menghormati,” kata Chin Kok. 

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, rata-rata netizen mengharapkan MCA dapat merebut kembali kerusi yang dimenangi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. 

“Janganlah terlalu angkuh sangat dengan rakyat. Apakah mereka juga perkauman? Saya ulangi gesaan saya agar MCA berubah menjadi sebuah parti Cina yang sederhana bagi membentuk masyarakat Cina. 

“Janganlah ikut rentak DAP seperti apa yang kalian lakukan sekarang. Kerana lambat laun, orang Melayu boleh hilang sabar,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan MCA supaya tidak mempersiakan sedikit kesabaran dan kepercayaan yang ada dalam masyarakat Melayu sekarang.

“Kepada pemimpin-pemimpin parti politik Melayu, dengarlah permintaan rakyat marhaen yang tidak mahu lagi kerusi-kerusi majoriti Melayu dipertaruhkan atas nama tawar-menawar politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button