Berita Utama

Kerajaan disyor selaraskan sistem belajar ikut subjek melalui TV

Sesi PdPR antara halangan buat murid yang kurang berkemampuan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Diakui banyak halangan dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian disebabkan latar belakang sosio keluarga murid yang tidak sama. 

Antara yang paling terkesan pastinya murid daripada keluarga miskin dan berpendapatan tidak menentu. 

Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Azizah Che Awang berkata, impak utama apabila kaedah pengajaran dalam talian memerlukan gajet seperti komputer riba atau telefon bimbit dan juga internet berkelajuan tinggi yang memerlukan belanja yang tinggi. 

“Ditambah pula faktor ketahanan mental, spiritual serta sikap dalam menghadapi dugaan hidup. Ia amat memberi kesan kepada proses pembelajaran seseorang murid itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas pendidik tertanya-tanya mengenai pemberian percuma data 1 Gigabit kepada orang ramai termasuk bagi tujuan pendidikan mulai awal bulan ini hingga April 2021, serta pemberian 150,000 komputer riba percuma kepada 500 sekolah seperti yang dinyatakan di dalam Belanjawan 2021. 

“Adakah bantuan tersebut sampai kepada kumpulan sasar dan boleh meredakan kerisauan ibu bapa mengenai pembelajaran anak-anak mereka?,” soalnya.

Justeru, sebagai pilihan kepada majoriti rakyat, Azizah mengesyorkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memperkasakan pembelajaran alternatif melalui media televisyen kerana hampir semua rumah mempunyai televisyen.

“Sebagai contoh, dengan menyelaraskan sistem pembelajaran televisyen pendidikan seluruh negara mengikut subjek.

“Manakala sebagai alternatif, bagi ibu bapa yang bekerja dan tidak dapat menemani anak-anak sewaktu sesi PdPR, bolehlah meminta guru merakam sesi pengajaran Google Meet dan simpan pautan tersebut di dalam Google Classroom mengikut kelas yang diajar supaya boleh ditonton di waktu lain atau di tempat yang mempunyai akses internet. 

“Sekiranya tiada kemudahan tersebut, ibu bapa boleh menghantar pesanan WhatsApp kepada guru untuk menghantar latihan dalam bentuk PDP, slide power point atau latihan bercetak,” katanya.

Beliau berkata, dalam menghadapi situasi ini, kerjasama yang erat antara guru-guru dan ibu bapa amat diperlukan. 

“Saling faham-memahami kesukaran PdPR bagi anak-anak dan mengelakkan konflik yang boleh merugikan semua pihak. 

“Semoga wabak COVID-19 ini segera diangkat oleh Allah SWT dan kita semua dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button