Berita Utama

Kerajaan sumbang RM260,000 kepada agensi mengurus zakat

Tanda sokongan usaha mereka membantu golongan terjejas

PUTRAJAYA, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Kerajaan bersetuju menggunakan peruntukan Tabung Musa’adah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) untuk menyumbang RM260,000 kepada agensi mengurus zakat di seluruh negara selain Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata sumbangan itu sebagai tanda sokongan atas usaha murni mereka membantu golongan yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak Mac 2020 hingga ke hari ini, agihan sumbangan melalui misi Musa’adah COVID-19 oleh agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri telah mencecah hampir RM365 juta, katanya.

Zulkifli ketika menzahirkan rasa simpati kepada negeri-negeri yang dilanda musibah banjir berkata kerajaan juga bersetuju untuk memperuntukkan sumbangan tambahan sebanyak RM40,000 kepada Majlis Agama Islam Johor, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button