Berita UtamaIstimewa

Melayu mesti dominasi kuasa politik demi kestabilan negara

Sikap sanggup ‘melutut’ dengan parti bukan Melayu punca hak bangsa tergadai

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 9 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Bangsa Melayu – tuan tanah air ini – mesti mendominasi kuasa politik bagi memastikan kestabilan negara terus dikekalkan. 

Justeru, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) berpendapat, agenda Muafakat Nasional (MN) yang membawa kesatuan bangsa Melayu perlu merentasi sempadan parti. 

Ini kerana, kesatuan Melayu tidak boleh diserahkan kepada UMNO dan PAS sahaja, berikutan dibimbangi hanya dijadikan ‘gelanggang agenda politik individu tertentu, kata Ketua Penerangan BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim. 

Apatah lagi, ketika ini perjuangan sebenar dilihat sudah tersasar daripada objektif penubuhan parti, apabila ahli diheret untuk mengekalkan kuasa politik pemimpin tertentu, kononnya demi maruah dan maslahah parti, sindirnya. 

“Mendaulatkan watan sepatutnya menjadi agenda utama mana-mana parti terutama parti Melayu Islam. 

“Jangan dek kerana PRU15 sudah hampir, baru pemimpin parti Melayu seperti UMNO bercakap akan menjunjung Perlembagaan dan keistimewaan Melayu. 

“Kuasa 60 tahun memerintah sepatutnya keistimewaan bangsa Melayu, bahasa Melayu, Tanah Rizab Melayu sudah jauh dilonjakkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Bukan hanya tersasar daripada objektif sebenar, Ustaz Zamani menyifatkan sikap sanggup ‘melutut’ dengan parti bukan Melayu demi menang pilihan raya dan kekal berkuasa juga sebagai satu penyakit yang menyebabkan keistimewaan bangsa tergadai. 

Atas sebab itu, beliau merasakan bahawa PAS mesti berani menonjol sebagai parti dominan yang membawa asas penubuhan parti berkenaan. 

“Sifat malu-malu dengan parti rakan demi maslahah hendak menjadi menteri dalam kerajaan mesti dilihat semula. 

“PRU15 tidak lagi menjadi keselesan kepada mana-mana parti yang ramai jumlah ahlinya,” katanya. 

Ustaz Zamani berkata, tidak mustahil ahli-ahli pindah bertukar sokongan parti lain sekiranya agenda keistimewaan Melayu lemah dan hak bangsa Melayu terhakis. 

“BERJASA amat sedar bahawa perjuangan mendaulatkan watan, keistimewaan Melayu, Islam agama Persekutuan dan institusi raja mesti menjadi agenda utama parti disamping Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri perjuangan. 

“Kestabilan negara mesti ditampuk kuasa politik Melayu, inilah keyakinan BERJASA,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button