Dunia

PBB kutuk serangan pengebom bunuh diri di Iraq

Ulangi komitmen sokong rakyat, pemerintah Iraq capai keamanan

NEW YORK, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan berkembar yang menyasarkan orang awam di sebuah pasar di Baghdad, Iraq, lapor Agensi Berita Xinhua.

Guterres mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat Iraq serta berharap mereka yang cedera akan segera pulih, kata jurucakap Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Ketua PBB itu meminta rakyat Iraq menolak sebarang usaha menyebarkan ketakutan dan keganasan yang bertujuan menggugat keamanan, kestabilan dan perpaduan. Beliau meminta kerajaan Iraq memastikan mereka yang terlibat segera dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan, katanya.

Guterres mengulangi komitmen PBB untuk menyokong rakyat dan pemerintah Iraq dalam usaha mencapai keamanan, kata kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 110 yang lain cedera dalam kejadian itu selepas pengebom bunuh diri meletupkan tali pinggang peledaknya berhampiran pasar pakaian yang sesak di kawasan Bab al-Sharji.

Beberapa minit kemudian seorang lagi pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di lokasi yang sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button