Uncategorized

Penceroboh patut disaman kerana punca kerajaan Pahang rugi jutaan ringgit

Hanya diberi notis pengosongan, tak cukup 'pengajaran' untuk pekebun haram

BANGI, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Pekebun haram durian Musang King di Raub mesti didakwa atau disaman kerana menyebabkan kerugian dan memalukan kerajaan negeri Pahang.

Ini kerana terbukti ‘mereka’ telah mencabar maruah kerajaan dan kedaulatan undang-undang negara apabila menceroboh tanah serta mengaut hasil kerajaan.

Namun, 5 Januari lalu, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan 204 pekebun haram di sekitar Raub supaya menangguhkan notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Dalam kes ini, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat berpendapat, tindakan memberi notis pengosongan tanah kepada pekebun haram hanya seolah-olah melepaskan batuk di tangga, malah tidak cukup bagi memberi pengajaran kepada mereka.

“Akibat terlalu memberi muka sehingga disebut oleh hakim di mahkamah, jangan biar cacing naik ke mata.

“Tindakan penceroboh memberi akibat buruk kepada kedaulatan kerajaan negeri Pahang serta rakyat pribumi yang marah dengan tragedi ini.

“Penceroboh mungkin rasa berjasa dan kaya raya tetapi kerajaan negeri menanggung rugi RM30 juta serta menanggung malu apabila diheret ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Save Musang King Alliance (Samka) menggesa supaya sumbangan pekebun haram durian Musang King di Raub, Pahang, tidak dipertikai.

Atas alasan kononnya usaha keras pekebun haram telah berjaya meletakkan nama Raub di persada dunia sebagai pengeluar utama durian Musang King di Malaysia.

Selain itu, Samka turut meminta agar jasa mereka tidak diabaikan dan mahu keadilan ditegakkan.

“Keringat, kerja keras dan tenaga kerja mereka yang telah disumbangkan dalam pertanian durian tidak boleh dipertikai atau diabaikan. Mereka berjaya meletakkan Raub di peta dunia sebagai pengeluar durian Musang King Malaysia.

“Kami bangga dengan pekebun durian yang bekerja keras ini. Mereka tidak layak dilayan secara tidak baik dengan tawaran sepihak atau dibuli syarikat besar. Di mana keadilan?,” dakwanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Masridzi berkata, pekebun haram yang menceroboh tanah itu masih dimanja dan diberi muka sehingga hari ini kecuali diberi notis pengosongan sahaja.

Beliau menyifatkan perkara itu tidak adil kerana sebelum ini pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Taiping, Perak yang membuat perkara sama dikenakan hukuman lebih tegas iaitu dipenjara selama dua tahun dan didenda sebanyak RM50,000.

“Veteran ATM, PDRM (Polis Diraja Malaysia), pesara penjawat awam, NGO (badan bukan kerajaan) juga banyak berjasa tetapi bukan dengan cara menceroboh dan langgar undang-undang kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button