Uncategorized

Pesakit COVID-10 gejala serius tahap 4, 5 meningkat

70 peratus kadar penggunaan katil ICU di beberapa negeri

KUALA LUMPUR, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Sebanyak 70 peratus kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital merawat COVID-19 di beberapa negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri berkenaan termasuk Johor, Melaka, Perak, Kedah, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur, manakala di Selangor adalah pada tahap 64 peratus.

“Peratusan pesakit COVID-19 dengan gejala serius iaitu tahap empat dan lima didapati semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Ini menyebabkan keperluan menggunakan katil bagi rawatan kritikal juga dijangka meningkat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sehingga semalam, sebanyak 41,755 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dilaporkan di negara ini, dengan 260 kes sedang dirawat di ICU dan 103 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, ketika ini, terdapat 1,009 katil rawatan kritikal di hospital COVID-19 di seluruh negara, dengan kadar penggunaannya adalah 71 peratus termasuk bagi pesakit yang bukan disebabkan virus berkenaan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 548 katil ICU diperuntukkan bagi pesakit COVID-19, manakala jumlah ventilator di hospital COVID-19 pula adalah sebanyak 1,908 unit, dengan kadar penggunaannya ketika ini adalah 43 peratus.

“Buat masa ini, beberapa ruang di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) sudah ditukar fungsi sebagai ICU tambahan (repurposed ICU) dan 282 katil ICU tambahan diwujudkan.

“Inisiatif ini membabitkan naik taraf kemudahan dan perolehan peralatan perubatan baharu sejak gelombang pertama lagi, dan ia akan diteruskan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, cabaran utama bagi mengoperasikan katil rawatan kritikal berkenaan adalah kekurangan anggota perubatan seperti jururawat, terutama yang mempunyai latihan khusus dalam bidang rawatan rapi.

“KKM akan mengoptimumkan sumber tenaga manusia sedia ada melalui mobilisasi anggota perubatan di dalam negeri atau antara negeri, namun buat masa ini, peningkatan kes dan banjir yang membabitkan beberapa negeri menyukarkan proses mobilisasi ini,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 44 hospital di bawah KKM mengendalikan kes COVID-19, manakala dua hospital bukan di bawah KKM.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button