Berita Utama

Pesakit COVID-19 kuarantin di rumah hanya tingkat risiko jangkitan

Tun M mahu kerajaan lihat semula keadaan pusat kuarantin supaya bersesuaian

BANGI, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Jumlah kes jangkitan akan terus meningkat sekiranya pesakit yang disahkan positif COVID-19 tidak diasingkan dan diarah kuarantin sendiri di rumah. 

Ini kerana, pesakit yang diarah kuarantin di rumah berisiko menjangkiti ahli keluarga lain, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau berkata, keadaan itu berlaku sendiri dalam kalangan ahli keluarganya apabila salah seorang telah dijangkiti COVID-19 dan tidak dimasukkan ke hospital. 

“Dia tidak dapat masuk ke hospital kerana tidak teruk. Sebaliknya diarah kuarantin di rumahnya. 

“Tetapi semasa di rumah keadaannya menjadi teruk sehingga tidak dapat bernafas. Maka, dia pun dimasuk ke hospital,” kata Dr Mahathir dalam blog chedet.cc, hari ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata, wabak itu telah pun menjangkiti ahli keluarga yang lain di rumah berkenaan. 

“Saya percaya ia tidak dapat dimasukkan ke hospital awal kerana jumlah yang dijangkiti terlalu ramai. Tiap hari 4,000 dikesan. 

“Namun demikian, jika pesakit berada di rumah, ahli keluarga akan dijangkiti. Maka, lebih ramailah yang terjangkit,” katanya. 

Dr Mahathir berkata, sepatutnya individu yang disahkan positif COVID-19 diasingkan ke pusat kuarantin berasingan daripada keluarga. 

“Sudah tentu tempat kuarantin hendaklah sesuai. Dari gambar yang diperolehi katil-katil terlalu dekat dan apabila ada lawatan pembesar, pesakit akan berkumpul. 

“Ini akan menyebabkan jangkitan merebak. Sesungguhnya ada banyak cara dan amalan yang boleh kurangkan jumlah jangkitan,” katanya. 

Serentak itu, beliau meminta barisan doktor-doktor pakar untuk berbincang dengan kerajaan berhubung isu berkenaan. 

“Khidmat Pengarah Kesihatan amat dihargai. Tetapi wabak ini agak terlalu besar untuk ditangani oleh seorang sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button