Berita Utama

PKP: Majlis akad nikah di Perak hanya dibenarkan di pejabat agama

'Tiada sebarang upacara lain seperti batalkan air sembahyang, sarung cincin, bergambar'

IPOH, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Majlis akad nikah di Perak kini hanya dibenarkan di Pejabat Agama Islam Daerah selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 4 Februari.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Mohd Yusop Husin berkata Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya hendaklah menyediakan sebuah bilik khas bagi menjalankan majlis akad nikah dan proses nyah kuman hendaklah dilakukan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Majlis akad nikah yang dijalankan oleh jurunikah kariah berkenaan hendaklah dikawal selia oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya,” katanya dalam Arahan Tatacara Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Norma Baharu di Perak Versi 4.0 dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah bertanggungjawab memastikan perkara-perkara yang ditetapkan dipatuhi semasa majlis itu berlangsung.

“Perkara itu antaranya Rukun Nikah, membaca taklik selepas akad nikah, tiada berjabat tangan ketika lafaz ijab kabul dan menjaga jarak satu meter setiap orang yang hadir.

“Selain itu, tiada sebarang upacara lain seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin, bergambar dan lain-lain dilakukan. Individu perlu memakai penutup muka dan pencuci tangan untuk keperluan pihak terlibat,” katanya.

Katanya, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah hanya dibenarkan melaksanakan sebanyak 15 majlis akad nikah dalam sehari mengikut jadual masa yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Daerah berkenaan dengan tempoh pelaksanaan tidak melebihi 30 minit.

Menurut Mohd Yusop, majlis boleh dihadiri oleh seorang jurunikah, dua saksi, seorang pengantin lelaki dan seorang pengantin perempuan, seorang wali daripada pihak perempuan, ibu bapa pengantin lelaki, ibu pengantin perempuan dan seorang jurugambar.

“Majlis hendaklah dibatalkan oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah sekiranya Tatacara Versi 4.0 tidak dipatuhi atau ada arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Negeri Perak,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button