Berita Utama

PKP tak ketat, jalan sesak macam biasa

Masalah tak selesai, mudarat berpanjangan, masalah Muhyiddin kekal lama jadi PM sahaja selesai

BANGI, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi, hari ini mempersoalkan keberkesanan perintah kawalan pergerakan (PKP) – yang semalam diumumkan akan disambung seminggu lagi – sedangkan kes yang dicatatkan masih tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.

Beliau berkata, masalah yang ketara di sini adalah penguatkuasaan PKP yang tidak ketat, terutama di tempat kerja.

“Kereta berkeliaran di lebuh raya. Dengar info radio, jalan di Kuala Lumpur sesak macam biasa setiap pagi kerana rakyat nak pergi kerja.

“Sedangkan kluster tempat kerja penyumbang besar. Sekarang ada 11 kluster tempat kerja daripada 16 kluster. Kilang dan tapak pembinaan diberi kelonggaran beroperasi. Memang double standard,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Puad menegaskan, kerajaan bukan sahaja tidak konsisten tetapi kelihatan seperti tidak tahu apa hendak dilakukan. 

“Sama ada tegas atau tidak. Rakyat tidak boleh makan di restoran. Tetapi orang ramai selamba makan di gerai-gerai di pekan kecil dan kampung.

“Maka tujuan darurat gantung Parlimen hanya untuk pekakkan telinga daripada dikritik kerana gagal menangani pandemik COVID-19. Sudah tidak ada check and balance,” tegasnya.

Bimbang dengan situasi itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika dilaksanakan PKP seketatnya agar ia tidak perlu disambung setiap minggu kerana ia menyusahkan rakyat mendapatkan sesuap nasi.

“Betul, lagi lama PKP 2.0 yang longgar ini dilanjutkan, lagi lama ketidakadilan berlaku. Ada yang dibenarkan beroperasi cari makan ada yang tidak boleh cari makan.

“Setuju dengan DS Najib, “PKP yang tegas untuk seketika adalah lebih baik dari PKP separuh masak yang berpanjangan”.

“Mudaratnya berpanjangan. Masalah tidak selesai. Masalah Muhyiddin untuk kekal lama jadi PM sahaja yang selesai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button