Berita Utama

Wajar masukkan kesalahan rasuah dalam kategori ‘pemberontakan’

Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2019 dapati tiada satu pun negara majoriti Islam tersenarai 20 negara paling bersih di dunia

BANGI, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Kerajaan sewajarnya melakukan pelbagai usaha dan kempen bagi membendung jenayah rasuah yang semakin berleluasa.

Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia, Dr Nik Roskiman Abdul Samad berkata, rasuah adalah perlakuan pengkhianat dan boleh dikategorikan sebagai kumpulan pemberontak atau bughah dalam konteks syariat Islam.

Justeru, pihak berkuasa agama juga wajar membincangkan kesalahan berkenaan untuk dimasukkan dalam pemberontakan.

“Mereka ini walaupun tidak sampai mengangkat senjata, berperang atau menggulingkan kerajaan seperti ditetapkan ulama silam dalam kitab klasik, peperangan moden hari ini yang dilakukan adalah lebih halus membabitkan makanan haram ‘dihalalkan’ dan juga air bersih yang menjadi kotor serta tidak disesuai diminum lagi oleh jutaan pengguna.

“Ini juga satu bentuk peperangan dan sewajarnya hukuman lebih berat dikenakan agar menimbulkan kegerunan kepada masyarakat untuk melakukan kesalahan ini,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Malangnya, Dr Nik Roskiman berkata, kajian menunjukkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan umat Islam khususnya pemimpin Islam antara yang tertinggi di dunia.

“Berdasarkan laporan Indeks Persepsi Rasuah 2019, tiada satu pun negara majoriti umat Islam yang menduduki senarai 20 negara paling bersih di dunia.

“Negara Islam yang terbaik mampu mencapai tangga tertinggi ialah Brunei Darussalam yang menduduki tangga ke-30, manakala Malaysia sendiri menduduki tangga ke-51, lebih baik sedikit daripada 2018, iaitu pada tangga ke-61,” katanya.

Dr Nik Roskiman kesal apabila iman sebahagian masyarakat telah luntur kerana sanggup bersubahat dalam membekalkan makanan tidak halal untuk disuapkan ke mulut umat Islam di negara ini.

“Betapa harapan dan amanah yang diberikan oleh umat Islam di negara kita dikhianati dengan begitu sahaja.

“Begitu juga pembuangan sisa kekotoran ke dalam sungai sehingga menjejaskan sebahagian besar pengguna air di Lembah Klang yang kerap berlaku sejak akhir ini. Kita tertanya-tanya apakah puncanya sikap tidak bertanggungjawab sedemikian.

“Hakikatnya, jenayah rasuah sangat keji sehingga Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Imam Ahmad dan Ibnu Majah bersabda: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button