Berita Utama

Zahid Hamidi digesa lepas jawatan Presiden UMNO

Tindak tanduk MKT tak jelas, lemah ketegasan hingga luntur daya juang ahli

KUALA LUMPUR, 9 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO, demikian kata Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman.

Beliau berkata, gesaan itu dibuat susulan kemelut pimpinan tertinggi UMNO serta Ahli-ahli Parlimen sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat berlarutan tanpa penyelesaian.

Katanya, tindak-tanduk Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Ahli Parlimen yang tidak terarah mendedahkan UMNO kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang diperlukan bagi menghadapi PRU15.

“Arah tuju yang tidak jelas beserta lemah ketegasan tindakan membawa kesan meluntur daya juang dan kesungguhan 3.6 juta ahli UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bukan sahaja arah tuju yang tidak jelas, tetapi, beliau berkata, kes-kes mahkamah membabitkan pimpinan UMNO juga memberi beban berat kepada kebangkitan semula UMNO.

“Ahli-Ahli UMNO tidak dapat melihat dengan jelas kewajaran mendukung pemimpin yang dipecat oleh MKT, penolakan kerjasama dengan Bersatu oleh bahagian-bahagian jelas memperlihat ketegasan penolakan ahli UMNO terhadap kerajaan pimpinan Bersatu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button