Berita UtamaDunia

500 kematian di kem Al-Hol, bimbang ideologi Daesh ‘bangkit semula’

Persekitaran kem semakin tidak selamat, sukar untuk salur bantuan

NEW YORK, 10 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam ‘tragedi pembunuhan’ di kem pemindahan di Timur Laut Syria.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric berkata, semua mangsa berwarganegara Syria dan Iraq di kem Al-Hol telah dibunuh sejak awal tahun ini hingga 16 Januari lalu.

Bercakap di ibu pejabatnya di New York, Dujarric berkata, peristiwa pembunuhan itu menunjukkan persekitaran di Al-Hol semakin tidak selamat dan tidak dapat dipertahankan.

Beliau berkata, keadaan yang tidak stabil itu turut akan membahayakan rakan kemanusiaan PBB untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk di kem berkenaan.

Kem pemindahan di Timur Laut Syria seperti Al-Hol dan Roj dikendalikan oleh militan Kurdish seperti YPG dan Angkatan Demokratik Syria (SDF), pelarian tuan rumah dan anggota keluarga bekas kumpulan pengganas Daesh.

Sebelum ini, terdapat pelarian warga asing lain yang pergi ke Syria untuk bergabung dengan kumpulan itu, selepas beberapa tahun revolusi Syria meletus.

Bagaimanapun, warga Syria dan Iraq adalah majoriti penduduk yang mendiami kem berkenaan.

Kem Al-Hol dilaporkan menempatkan sekitar 62,000 orang.

Meskipun pengganas Daesh telah kalah dalam pertempuran, terdapat kebimbangan bahawa kem-kem berkenaan akan bersimpati dan terpengaruh dengan ideologi kumpulan itu, seterusnya ia akan menjadipusat ekstremisme dan berpotensi untuk bangkit semula.

Kebimbangan itu diburukkan lagi dengan keadaan menakutkan di kem apabila terdapat lebih 500 kematian di Al-Hol pada 2019.

Ketua Bantuan PBB, Mark Lowcock pada Rabu mendesak pihak berkuasa Kurdish untuk memperbaiki keadaan kem, tambahan pula ia turut diduduki oleh kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang membesar dalam keadaan keganasan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button