Berita Utama

Anwar dakwa jumlah MP tolak darurat ‘lebih dari cukup’

Konon dakwa penggantungan Parlimen ditolak majoriti ahli

BANGI, 10 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa jumlah Ahli Parlimen yang menolak darurat kini ‘lebih dari mencukupi’

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa, seramai 114 atau 115 Ahli Parlimen menyatakan bantahan mereka terhadap darurat yang diusulkan kerajaan PN.

“Kita sudah mencecah 114 atau 115 ahli Parlimen yang menolak usul kerajaan Perikatan Nasional (pimpinan) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini tidak boleh disangkal. Apakah jumlah itu cukup? Itu lebih dari mencukupi,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Program Minda Profesor Negara – Bicara Negarawan Siri-3 yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Majlis Profesor Negara pada Sabtu.

Sehubungan itu, Anwar dilaporkan akan menyampaikannya kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempertimbangkan usul berkenaan dan memanggil sidang khas Parlimen.

“Ternyata tidak boleh disangkal jumlah setakat ini yang menolak pandangan Perikatan Nasional berhubung perkara darurat dan penggantungan ditolak oleh majoriti ahli Parlimen.

“Sekarang Gabungan Parti Sarawak juga sedang membincangkannya. Saya tak tahu apakah keputusannya tetapi ternyata kalau ini berlaku maknanya yang komited mendukung darurat dan penggantungan Parlimen itu tak mungkin sampai 90 ahli Parlimen atau jauh lebih kurang,” dakwanya.

Terdahulu, Anwar mencadangkan supaya semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Katanya, warkah terbabit hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan mereka atau parti.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button