Berita Utama

Fasiliti di Kelantan hanya mampu bertahan 2 bulan jika kes meningkat

Kakitangan yang bertugas untuk tangani kes COVID-19 masih mencukupi

KOTA BHARU, 10 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Sekiranya kes jangkitan COVID-19 terus meningkat, fasiliti sedia ada untuk pesakit wabak itu di Kelantan, dijangka hanya mampu bertahan dua bulan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata, pihaknya bimbang apabila kes jangkitan di negeri itu menunjukkan lonjakan melebihi 100 kes pada setiap hari.

Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya, kadar kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 di negeri ini adalah 1.26, melebihi bacaaan Rt kebangsaan, iaitu 1.14.

“Sekiranya kes COVID-19 di Kelantan menunjukkan trend peningkatan, kita bimbang kebolehjangkitan juga semakin meningkat, sekali gus fasiliti yang ada tidak mampu untuk menampung keperluan pesakit mendapatkan rawatan.

“Fasiliti bagi menampung pesakit COVID ketika ini adalah lapan hospital serta empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) iaitu tiga di Kota Bharu dan satu di Gua Musang.

“Tiga PKRC di Kota Bharu membabitkan Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, kakitangan JKNK yang bertugas bagi menangani kes COVID-19 masih mencukupi.

Tetapi, katanya, kakitangan yang dihantar bertugas di luar Kelantan akan dipanggil pulang ke negeri ini jika keadaan memerlukan.

“Bagaimanapun, setakat ini, kakitangan yang bertugas bagi menangani kes COVID-19 masih mencukupi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button