Berita Utama

Hakim kes Najib dipindahkan ke Mahkamah Sivil

Ketua Hakim Malaya arahkan pemindahan Nazlan

KUALA LUMPUR, 10 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan kes SRC International Sdn Bhd (SRC International) dipindahkan ke Mahkamah SIvil.

Ketua Hakim Malaya, Azahar Mohamed mengarahkan pemindahan Nazlan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah 3) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (NCvC 2), berkuat kuasa 1 Mac ini.

Perkara itu dimaklumkan kepada anggota Majlis Peguam menerusi pekeliling dikeluarkan semalam.

Memetik Berita Harian, peguam P G Cyril ketika dihubungi mengesahkan menerima pekeliling yang disampaikan Setiausaha Badan Peguam Malaysia, A G Kalidas.

Sebelum ini, Mohd Nazlan menyifatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International dihadapi Najib itu adalah kesalahan salah guna kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang paling teruk.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun penjara dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, tambahan lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Ini bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Mohd Nazlan dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 10 April 2015 dan kemudian Hakim Mahkamah Tinggi pada 30 Januari 2017.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button