Berita UtamaDunia

Ikut langkah UAE, Sudan mansuh Akta Boikot Israel

Khartoum didakwa tandatangan perjanjian dengan AS untuk dapatkan pinjaman kewangan

KHARTOUM, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Sudan didakwa akan mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan memansuhkan Akta Boikot Israel yang diluluskan oleh negara itu pada 1958.

Laporan media Israel yang memetik sumber peringkat tinggi Sudan sebagai berkata, pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengaktifkan perjanjian damai yang ditandatangani Tel Aviv dan Khartoum baru-baru ini.

Sumber-sumber itu berkata, Akta Boikot Israel yang diguna pakai pada 1958 – akan menjadi landasan pertama untuk membangunkan dan mengembangkan hubungan antara kedua negara – akan dimansuhkan sebagai sebahagian dari perjanjian.

Pada Ogos tahun lalu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memansuhkan Akta Boikot Israel dengan keputusan presiden, yang membolehkan warganya bekerjasama dari segi komersial dan kewangan dengan rakyat Israel.

Terdahulu, Sudan menandatangani ‘Perjanjian Abraham’ sekali gus membuka jalan bagi menormalkan hubungan dengan Israel ketika negara itu menerima lawatan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steven Mnuchin.

Negara itu juga menandatangani satu perjanjian persefahaman dengan AS bagi membolehkan ia mendapatkan pinjaman kewangan untuk melangsaikan hutang negara itu dengan Bank Dunia.

Kedua-dua perjanjian itu ditandatangani kurang sebulan selepas Washington mengeluarkan Khartoum daripada senarai negara yang menaja keganasan.

Pengeluaran Sudan daripada senarai itu dilakukan selepas pihaknya bersetuju untuk menormalkan hubungan dengan Israel pada bulan Oktober tahun lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button