Berita Utama

‘Kelesuan pandemik’ faktor sikap tak acuh dengan SOP

Wabak dapat dikawal jika pemimpin, rakyat kerjasama patuhi arahan

SEREMBAN, 10 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Sudah setahun musibah coronavirus melanda dunia, namun harapan untuk menyaksikan wabak ini segera hilang di muka bumi masih belum menampakkan sinar.

Kes positif COVID-19 di Malaysia juga tidak susut dan masyarakat pula seolah-olah sudah keletihan dengan kehidupan norma baharu sehingga culas pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Mungkinkah mereka sudah berasa kebal terhadap jangkitan, atau sudah terlalu ‘penat’ sehingga tidak endah lagi dengan SOP?

Pengarah Perubatan Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A Rashid, berkata, ‘kelesuan pandemik’ mungkin menjadi antara faktor menyumbang kepada pengabaian dan sikap tidak acuh individu terhadap pematuhan SOP bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Kelesuan berkenaan didorong oleh beberapa fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac tahun lalu.

” Jika kita melihat kepada PKP pertama dahulu, rakyat rata-rata bersemangat dan bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 dan kita berjaya melandaikan keluk kes jangkitan COVID.

“Namun sejak September tahun lalu ditambah dengan kebenaran merentas negeri serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kes positif COVID-19 kian bertambah. Ini membuatkan rakyat mula letih dan berfikir bila pandemik ini akan berakhir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada 16 Januari lalu, Malaysia pertama kali merekodkan kes harian tertinggi iaitu 4,029 kes sejak pandemik itu melanda negara. Sehingga semalam, kes kebolehjangkitan direkodkan adalah 42,814 kes manakala jumlah kematian akibat wabak itu sebanyak 660.

Pada suatu ketika Malaysia berjaya melandaikan keluk jangkitan namun trend angka kes jangkitan tempatan saban hari kini menunjukkan situasi menggerunkan menuntut persoalan – apa yang tidak kena dengan strategi kita mencegah penularan koronavirus yang boleh membawa maut ini?

Mengupas persoalan, pensyarah perubatan di Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan USIM itu berkata, kelemahan kawalan kendiri adalah faktor utama menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan tempatan.

“Sekarang ini, ada mengikut SOP dan ada yang tidak. Mengapa? Ini adalah kerana ‘kelesuan pandemik’ yang menyebabkan mereka leka dan tidak berwaspada meskipun saban hari kerap diingatkan supaya menjaga penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka.

Meskipun diakui video-video menggerunkan memaparkan keadaan individu dijangkiti tersebar luas di media sosial ketika PKP pertama, banyak membantu meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya COVID-19, namun kini ia tidak lagi memberi kesan.

Dr Mohd Radzniwan berkata, peningkatan kes positif kebelakangan ini antara lain berpunca daripada kelekaan masyarakat mengenai bahaya COVID-19, berbanding ketika awal pandemik.

Katanya, semasa peringkat awal PKP dilaksanakan secara ketat pada Mac tahun lalu, rakyat tertunggu-tunggu perkembangan situasi semasa COVID-19, selain mendapat maklumat dan video yang diperoleh di media sosial sehingga mencetuskan rasa bimbang untuk keluar.

“Namun kini kerana berasa selesa dengan persekitaran semasa, ada yang beranggapan mereka sentiasa selamat dan tidak akan dijangkiti, mereka alpa. Kegusaran kita adalah kita tidak tahu siapa yang positif memandangkan ada tidak bergejala… ini harus kita bimbangkan,” katanya.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin yang senada dengan Dr Mohd Radzniwan bersetuju faktor ‘kepenatan’ orang ramai mematuhi SOP, selain ada pihak tertentu yang tidak menunjukkan pematuhan SOP menyebabkan wujud sikap tidak acuh dalam kalangan masyarakat.

Menjawab persoalan seakan wujud undang-undang berbeza antara rakyat dan pemimpin, Naib Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, rakyat perlu bijak dan tidak terikut dengan sikap yang tidak boleh dicontohi. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button