Berita Utama

Kuari jejaskan alam sekitar

Tak logik dakwa air terjun terjejas berpunca dari alur air bermusim

BANGI, 10 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Tidak logik mengatakan air terjun berdekatan Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung masih terpelihara dan langsung tidak terjejas.

Ini kerana Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mempunyai rekod berhubung perkara itu dan pernah membuat laporan pada 2017 yang menyatakan sudah ada kerosakan berlaku di kawasan berkenaan.

Bahkan persatuan itu percaya mungkin masih ada lagi ketidakpatuhan boleh ditemui sekiranya pemeriksaan lanjut dilakukan di kawasan itu.

“Untuk mengatakan kawasan air terjun berkenaan tidak terjejas juga tidak logik kerana kami ada rekod dan ada buat laporan pada 2017 yang menyatakan sudah ada kerosakan berlaku di kawasan itu.

“Pihak Exco negeri dan Kementerian Alam Sekitar dan Air tiada maklumat, tetapi mereka boleh memeriksa perkara itu melalui agensi yang ada,” kata Timbalan Presiden KUASA, Ismady Radzuan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penafian sesetengah pihak bahawa tiada kerosakan air terjun berdekatan Hutan Simpan Segari Melintang akibat kegiatan kuari tanah.

Semalam, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamaruddin mendakwa Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera di Segari masih terpelihara dan langsung tidak terjejas kerana ia bukan sebahagian daripada tapak kuari di dalam Hutan Simpan Segari Melintang.

Katanya, air terjun terjejas itu merupakan alur air terbentuk hasil satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter dalam kawasan diberi lesen di Kompartmen 16 (Blok E), Hutan Simpan Segari Melintang tersebut.

Memetik laporan media tempatan, Ismady mengakui mungkin berlaku kesilapan mengenai kawasan berkenaan kerana terdapat dua air terjun bersebelahan di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang sebagaimana yang didakwa penduduk setempat.

Bagaimanapun katanya, kawasan seperti yang dilaporkan itu juga terjejas akibat aktiviti kuari berhampiran hingga menyebabkan landskapnya berubah, malah Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga mengenal pasti enam ketidakpatuhan Laporan Penilaian Kesan Alam (EIA)  oleh pihak terbabit.

“Untuk mengatakan ia hanya alur air yang muncul selepas hujan adalah tidak munasabah, kerana air di kawasan itu tetap mengalir walaupun ketika musim kering, kawasan berair juga bertingkat.

“Orang kampung menamakan kawasan itu sebagai Tanjung Batu, tetapi ada juga memanggilnya Teluk Sera, di situ ada kekeliruan oleh penggiat alam sekitar dan penduduk kampung, gambar yang tersebar adalah di lokasi yang tak terjejas,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button