Berita Utama

Punca utama rasuah kerana salah guna kuasa

Jadikan jawatan sebagai 'kejayaan peribadi', bukannya amanah rakyat

BANGI, 10 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Rasuah adalah penyakit kerana tindakan pelaku memberi impak besar terhadap kemusnahan institusi masyarakat, kata Profesor Madya Dr Huzili Hussin.

Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis itu berkata, kebanyakan individu yang melakukan rasuah telah mengklasifikasikan perbuatan mereka sebagai sesuatu yang rasional dan bukannya luar biasa.

Secara lebih jelas, katanya, mereka diyakini dan meyakini bahawa tindakan itu dilakukan untuk mempercepatkan proses, di mana mereka menganggap duit terbabit digunakan sebagai tabungan bagi membantu orang lain.

“Orang lain sebelum ini pun ada yang melakukan (rasuah) dan tuhan tahu apa niat sebenar dirinya.

“Justeru, berpegang kepada rasional tersebut, walaupun ditangkap dan disabit kesalahan, mereka masih boleh tersenyum dan tetap berasa tidak bersalah,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Huzili berkata, sikap sanggup menerima risiko telah ada dalam diri setiap manusia.

Hal ini kerana apabila seseorang individu menghadapi kesusahan, mereka sanggup menghadapi risko bagi menyelamatkan diri dan ahli keluarga.

“Maka, tidak hairanlah jika ramai yang mengambil risiko untuk berhijrah ke negara lain setelah negara mereka mengalami peperangan dan keganasan dengan harapan mendapat peluang hidup yang lebih baik.

“Begitu juga kes rasuah. Mereka sanggup menghadapi risiko kerana harapannya cukup tinggi bagi mendapatkan laba yang lebih banyak untuk diri, keluarga dan rakan terdekat,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, dapatan kajian menunjukkan punca utama individu menerima rasuah adalah kerana penyalahgunaan kuasa.

Katanya, kecenderungan untuk melakukan rasuah adalah cukup tinggi bagi individu yang menjadikan jawatan itu sebagai kejayaan peribadi berbanding dengan amanah rakyat.

“Apa yang nyata, kedudukan tersebut telah menjadikan dirinya lebih hebat berbanding dengan orang lain dan mula bertindak berasaskan apa yang difikirkan betul dan bukannya berdasarkan amanah yang sepatutnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button