Berita Utama

PAS terdesak kembali pada UMNO guna ‘rakan ta’awun’

'Dulu sanggup halalkan hubungan dengan DAP atas dasar tahaluf siyasi'

BANGI, 5 Rabiulawal 1444H, Ahad – Parti BERJASA menyifatkan PAS terdesak kembali ke pangkuan UMNO dengan menggunakan istilah ‘rakan ta’awun’.

Dalam satu kenyataan hari ini, BERJASA berkata, rakan ta’awun hanya terguna pakai oleh UMNO untuk menghalalkan kembali hubungan yang terlerai.

Sedangkan, parti Melayu-Islam yang lain tidak pernah dan tidak akan digolongkan dalam rakan ta’awun berkenaan.

“Ini bukan perkara yang baru bagi PAS yang terdesak sehingga mampu mengkafirkan parti lain.

“Dulu mereka juga sanggup menghalalkan hubungan dengan DAP dengan istilah ‘tahaluf siyasi’,” kata BERJASA.

Menurut parti itu, selepas pilihan raya umum, PAS bagaimanapun mulai sedar bahawa laungan Islam bercanggah dengan agenda liberal DAP.

“Walhal setiap pelosok tanah air tahu agenda sebenar DAP yang kini kian menunjukkan taringnya.

“BERJASA sentiasa konsisten mengetepikan pandangan populis yang langsung tidak menguntungkan rakyat,” katanya.

BERJASA berkata, semua parti Melayu-Islam perlu digabungkan di bawah satu bumbung yang sama.

“Ditambah pula dengan kuasa yang diberikan kepada barisan kepimpinan NGO dan tokoh individu untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di bawah bumbung Gerakan Tanah Air (GTA).

“Gerakan rakyat inilah yang akan memastikan anak bangsa tidak lagi mengemis di tanah air sendiri,” kata BERJASA.

Untuk rekod, GTA terdiri daripada empat parti tonggak iaitu BERJASA, Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Gerakan itu dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO, khususnya di Semenanjung Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button