Tok Mat nafi calon PM bagi MN untuk PRU15
'Sila ambil maklum. Ini adalah berita palsu. Berhati-hatilah'

BANGI, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – “Berita palsu”.
Demikian sanggah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan dakwaan beliau dipilih sebagai calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional (MN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, dakwaan itu tidak benar dan meminta semua pihak supaya lebih berhati-hati.
“Sila ambil maklum. Ini adalah berita palsu. Berita palsu ‘lebih cepat’ tersebar berbanding virus COVID-19.
“Berhati-hatilah,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau, hari ini.
Menerusi ciapan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut berkongsi pautan Instagram beliau yang memaparkan tangkap layar berita palsu tersebut.
Berdasarkan paparan itu, nama Tok Mat dikatakan telah disenaraikan sebagai calon Perdana Menteri bagi MN dan telah mendapat undian tertinggi berbanding calon-calon lain pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.