Air Terjun Tanjung Batu: Kerajaan Perak diminta duduk semeja dengan aktivis
NGO di Perak diajak rungkai lagi maklumat masih belum diketahui

IPOH, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Kerajaan negeri Perak disyorkan untuk ‘duduk bersama’ pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar untuk sama-sama berbincang, bertukar-tukar maklumat serta bekerjasama dalam mencari penyelesaian terhadap Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) yang terjejas akibat aktiviti kuari di Pantai Remis, baru-baru ini.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau mengesyorkan perkara demikian kerana yakin isu ini masih belum selesai dan menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan rakyat.
Baru-baru ini, EXCO Perak yang memegang portfolio Alam Sekitar, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, Air Terjun Tanjung Batu sebenarnya masih terpelihara, langsung tidak terjejas dan berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusaha hasil pengeluaran batu kuari iaitu berjarak satu kilometer dari tapak pengkuarian tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, untuk mengatakan kawasan air terjun berkenaan yang didakwa langsung tidak terjejas itu juga tidak logik kerana mereka mempunyai rekod dan pernah membuat laporan pada 2017 yang menyatakan sudah ada kerosakan berlaku di kawasan itu.
Beliau mengakui berlaku kekeliruan ketika isu Air Terjun Tanjung Batu di kawasan hutan simpan berkenaan mula tular mengenai kedudukan air terjun, kerana terdapat dua air terjun bersebelahan di kawasan itu sebagaimana didakwa penduduk setempat.
“Orang kampung memanggil kawasan itu sebagai Tanjung Batu, tetapi ada juga yang memanggilnya sebagai Teluk Sera, di situ ada kekeliruan oleh penggiat alam sekitar dan penduduk kampung, gambar tersebar adalah di lokasi yang tak terjejas.
“Apa pun, kawasan yang media dibawa melawat memang berlaku kemusnahan teruk dan ia diakui sendiri oleh JAS,” kata Ismady
Sementara, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam siasatan awalnya di tapak kuari mendapati terdapat enam perlanggaran syarat kelulusan EIA oleh pemaju, antaranya membabitkan kerja-kerja tanah dijalankan tanpa mengikut pelan Langkah Mitigasi dan Pencegahan Pencemaran-Gangguan Tanah (LD-P2M2) yang diluluskan.
Justeru, Aminuddin berkata, kerajaan negeri Perak sewajarnya melakukan perbincangan secara tuntas dengan pihak-pihak berkaitan termasuk aktivis yang menyampaikan kebimbangan rakyat tempatan.
“Di sini, kerajaan negeri Perak boleh menunjukkan tauladan yang baik kepada negeri-negeri lain dengan bekerjasama dengan NGO-NGO dan aktivis-aktivis yang mahu menyalur maklumat, menyumbang bakti dan tenaga.
“Selain itu, saya berharap agar pemaju yang melanggar undang-undang diambil tindakan tegas kerana sepatutnya tiada siapa pun yang ‘above the law’ walaupun mereka itu adalah syarikat gergasi sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) berkata, pihaknya akan terus memerhati isu ini.
“Kerana masih banyak yang belum jelas dan banyak tanda tanya yang masih belum terungkai. Saya harap agar rakan-rakan NGO-NGO di sana dapat merungkai lagi maklumat-maklumat yang belum diketahui,” katanya.