Berita Utama

Bomoh didakwa laku serangan seksual ke atas pesakit

Tertuduh juga mengalami kecacatan kekal mengaku tak bersalah

KOTA BHARU, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Seorang bomoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan serangan seksual ke atas pesakitnya dalam sebuah rumah di Kampung Permatang Pusu, di sini, minggu lepas.

Wan Ismail Wan Md Zain, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, Wan Ismail didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang wanita berusia 28 tahun pada 8.50 malam, 12 Jan lepas mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan, sekiranya disabit kesalahan.

Difahamkan wanita itu datang berubat dengan tertuduh kerana sakit di dalam perut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizuan Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Roshayati Hassan memohon jaminan yang rendah diberikan kepada anak guamnya dengan alasan dia adalah penanggung utama keluarga.

“Tertuduh juga mengalami kecacatan kekal iaitu sakit tulang belakang dan pernah menjalani pembedahan memasukkan besi,” kata Roshayati.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes dan laporan perubatan.

Tertuduh membayar denda tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button