Berita Utama

COVID-19: 10 lagi sekolah rendah di Kuala Terengganu diarah tutup

Terdapat sejarah perjalanan pesakit ke semua sekolah berkenaan

KUALA TERENGGANU, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Sepuluh lagi sekolah rendah di daerah Kuala Terengganu diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini hingga 30 Januari, susulan terdapat sejarah perjalanan kes pesakit COVID-19 ke semua sekolah berkenaan.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman dan SK Gong Tok Nasek.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di semua sekolah terbabit.

“Penutupan sementara sekolah-sekolah itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit. Sehubungan itu, semua aktiviti dalam kawasan sekolah perlu ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, pihak pengurusan sekolah terbabit juga telah memaklumkan kepada ibu bapa mengenai penangguhan agihan buku teks dan alat tulis kepada pelajar kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Baru-baru ini, SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Paloh di sini turut diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu berikutan kes yang sama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button