Berita Utama

Hospital swasta ‘main tarik tali’ isu COVID-19, kerajaan perlu tegas

Hanya beri pelbagai alasan demi selamatkan ‘taikun’ besar labur wang

BANGI, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Kerajaan digesa bersikap tegas terhadap pihak hospital swasta untuk bersama-sama membantu menguruskan pandemik COVID-19 di Malaysia. 

Ini kerana, pihak hospital swasta dilihat seperti ‘bermain tarik tali’ meskipun kerajaan cuba untuk menarik mereka bersama membantu menguruskan pandemik. 

Apatah lagi, kapasiti hospital awam yang dikhaskan untuk menampung pesakit COVID-19 sudah berada di tahap kritikal, kata Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad. 

“Bermacam alasan diberikan hanya dilihat sekadar mahu menyelamatkan ‘taikun’ besar yang menabur wang pelaburan. 

“Perlu diingat, hospital swasta ini sudah berbelas tahun menjana kewangan dalam negara ini melalui duit yang disedut dari pesakit yang berada dan punyai polisi insuran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Malah, Hazwan berkata, caj yang dikenakan oleh hospital swasta juga berkali ganda daripada hospital awam. 

“Sehingga ke tahun lepas, penyata kewangan kebanyakan hospital swasta ini masih mencatatkan keuntungan. 

“Saya menggesa pihak kerajaan sedikit bertegas dalam isu ini. Kejayaan melawan COVID-19 di Malaysia kuncinya adalah pengorbanan dan kebersamaan semua. 

“Dan ini tidak terkecuali kepada sektor kesihatan swasta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button