Berita Utama

KPT ajak mahasiswa kongsi pandangan isu kemasukan pelajar pada Mac

Hanya 5 kategori pelajar IPT dibenar kembali ke kampus berperingkat

BANGI, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempelawa mahasiswa berkongsi pandangan berhubung kemasukan pelajar bagi semester baharu Mac ini.

Ini melihat kepada keadaan dan situasi semasa negara yang berdepan kes jangkitan harian empat angka, selain pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak.

Menteri KPT, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pihaknya mahu mendengar pandangan dan suara hati semua pihak berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) Mac nanti.

“Sekiranya anda sudi berkongsi hasrat dan suara hati anda berkenaan perkara ini boleh nyatakan di ruangan komen.

“InsyaAllah saya di pihak KPT akan cuba mengambil perhatian akan segala maklum balas daripada anda semua agar keputusan yang terbaik dapat diambil untuk anda semua,” katanya di Facebook hari ini.

Noraini berkata, KPT sebelum ini telah mengadakan beberapa libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan berhubung pengoperasian IPT bermula awal Mac depan.

Beliau berkata, terdapat lima kategori pelajar IPT yang dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat bagi meneruskan pembelajaran masing-masing.

Antaranya, pelajar pascasiswazah mod penyelidikan di universiti awam dan IPTS yang sedang menjalankan pengajian, pelajar semester akhir bagi pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Pelajar semester akhir yang tidak mempunyai akses internet, pelajar berkeperluan khas (OKU) yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik dan Kolej Komuniti serta pelajar kemasukan baharu bagi sesi akademik 2020/2021 di semua UA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button