Majlis Halal Malaysia diaktifkan semula
Bagi selesaikan masalah daging kartel haram di negara ini

BANGI, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Ekoran daripada isu kartel daging import yang membelenggui negara ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan untuk mengaktifkan semula Majlis Halal Malaysia (MHM).
Perkara tersebut didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr Zulkifli berkata, pengaktifan semula majlis berkenaan perlu bagi kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang sedang berlaku.
“Saya telah mengarahkan Jakim untuk mengaktifkan kembali Majlis Halal Malaysia dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya hari ini.
Beliau berkata, langkah itu diambil selepas mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan berkenaan isu kartel daging import haram pada 5 Januari dan satu pertemuan bersama pengimport serta pengedar daging dan produk daging pada 11 Januari lalu.
Pada tahun 2016 lalu, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan MHM adalah bertujuan sebagai entiti khas yang menyelaras semua agensi yang terbabit dalam usaha menjadikan Malaysia peneraju halal global.
MHM ditubuhkan selepas Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Indistri Halal dibubarkan pada tahun itu.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan isu kartel daging import selepas media melaporkan taktik kartel menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.
Sehigga kini, lima penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia Johor telah direman bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kartel daging sejuk beku import berkenaan.