Pinda Akta 355 untuk bantu pulih golongan LGBT, bukan benci
Kumpulan liberal guna alasan hak asasi manusia perlu dikekang

KOTA BHARU, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, cadangan pindaan Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau juga dikenali sebagai Akta 355 bukan untuk menzahirkan kebencian terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sebaliknya, beliau berkata, ia hanya dilaksanakan sebagai proses rawatan serta pemulihan golongan tersebut.
“Tidak timbul soal diskriminasi kerana apa yang kita buat adalah berdasarkan rasa sayang, empati dan ambil berat terhadap golongan terbabit maka sebab itu itu kita merencanakan satu perancangan yang komprehensif daripada sudut undang-undang dan penguatkuasaan.
“Kalau tanya pencuri atau perompak pun mereka tidak bersetuju untuk pinda undang-undang tapi ia akan tetap dilaksanakan.
“Cuma ada kumpulan yang kononnya mengarusperdanakan gerakan menyokong golongan itu (LGBT) padahal mereka hanya berapa banyak kerat sahaja manakala sebilangan besar yang berfikiran positif,” katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.
Ahmad Marzuk berkata, cadangan pindaan akta itu adalah sebahagian daripada proses untuk menyelaraskan undang-undang dan ia bersesuaian dengan peredaran masa kini yang mana aktiviti LGBT dipaparkan di media sosial tanpa ketat.
Pada masa sama, ia juga untuk mengekang kebebasan kumpulan liberal yang cuba untuk bercakap atas alasan memperjuangkan hak asasi.
“Gerakan kumpulan liberal itu lebih berbahaya kepada masyarakat dan kerajaan sedaya upaya mengekang kebebasan komuniti itu yang ternyata bertentangan dengan konteks ketimuran dan Islam.
“Kita tak mahu gerakan seperti ini bebas bergerak dalam komuniti atau entiti tertentu yang mana kesalahan individu LGBT itu kerana kecenderungan semulajadi sebegitu tapi kalau sudah dibawa dalam bentuk komuniti, itu sangat bahaya.
“Ramai golongan LGBT yang ingin berubah tapi jika gerakan ini mendorong mereka untuk kekal sedemikian maka tidak dibenarkan dalam negara kita. Kita kena selamatkan negara daripada kumpulan ini yang secara agamanya boleh mengundang bala serta kemurkaan Allah,” katanya.