Berita Utama

Sulaiman umum barisan Exco kerajaan Melaka

Menyaksikan kombinasi muka lama dan baharu

MELAKA, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini mengumumkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang menyaksikan kombinasi muka lama dan baharu termasuk pertukaran portfolio.

Menurut senarai yang diperkenan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Sulaiman dilantik memegang portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan manakala Datuk Rahmad Mariman yang sebelum ini Exco Kesihatan dan Anti Dadah, dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

Sementara itu, lapan muka baharu dilantik sebagai Exco kerajaan negeri kali ini termasuk Datuk Seri Ab Rauf Yusof yang sebelum ini merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dilantik sebagai Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan.

Berikut adalah senarai penuh Jawatankuasa Negeri Melaka bagi penggal DUN ke-15.

Exco Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama – Datuk Seri Sulaiman Md Ali
Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan – Datuk Seri Ab Rauf Yusof
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan – Datuk Muhammad Jailani Khamis
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir – Datuk Rahmad Mariman
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar – Datuk Zaidi Atan
Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani – Datuk Abdul Razak Abdul Rahman
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) – V. P. Shanmugam
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan – Datuk Kalsom Nordin
Exco Kesihatan dan Anti Dadah – Dr Muhamad Akmal Saleh
Exco Pendidikan dan Teknologi – Datuk Rais Yasin
Exco Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna – Ngwe Hee Sem

Sulaiman berkata gabungan Exco yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO, MCA dan MIC itu melambangkan perpaduan dan kerjasama daripada semua kaum di Melaka.

”Gabungan lama, berpengalaman dan baharu daripada pelbagai latar belakang dan profesion inilah barisan terbaik untuk memajukan dan memakmurkan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya pada sidang media khas pengumuman barisan Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini hari ini.

Majlis angkat sumpah Exco Melaka itu dijangka berlangsung 3 petang ini di hadapan Mohd Ali di Seri Negeri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button