Berita Utama

Putrajaya tutup ekonomi sepenuhnya lepas 4 Februari?

Perintah berkurung lebih ketat jika kes masih tidak turun dalam tempoh PKP

KUALA LUMPUR, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Putrajaya akan mengumumkan penutupan ekonomi sepenuhnya selepas 4 Februari, sekiranya jumlah kes COVID-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan, dakwa Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham Malaysia) dalam surat yang dikeluarkan kepada anggotanya.

Sumber yang berkaitan dengan organisasi mengesahkan kesahihan surat itu dengan akhbar tempatan, Malay Mail.

Surat itu memperincikan ringkasan pertemuan Ketua Eksekutif Eurocham Malaysia, Sven Schneider dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), yang menyebutkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) ‘telah membuat pendirian yang jelas mengenai masalah penutupan ekonomi sepenuhnya.’

“Sekiranya angka jangkitan tidak menurun, kerajaan Malaysia akan mengumumkan penutupan/perintah berkurung lebih ketat dengan segera setelah 4 Februari 2021. 

“Ini adalah situasi yang kita hadapi dan MITI meminta semua perusahaan, asing dan tempatan, untuk bergabung dalam usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, agar ekonomi terbuka untuk perniagaan,” menurut surat itu.

Surat itu menyatakan bahawa Schneider diundang untuk menghadiri ‘pertemuan yang sangat penting dan mendesak’ di MITI, pada malam 22 Januari, dan pertemuan itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali.

Ia juga menyatakan bahawa KKM percaya sektor pembuatan, dengan 99 kluster COVID-19, adalah sumber utama jangkitan.

Eurocham Malaysia meminta syarikat bagi menugaskan sekurang-kurangnya seorang penyelia sumber manusia untuk mengurus dan menyelaraskan pekerja asing atau pekerja yang tinggal di asrama, sambil menambah bahawa tujuan utama tindakan ini adalah untuk meminimumkan pergerakan masyarakat, aktiviti sosial dan dengan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia mengatakan bahawa ini kerana selalunya, pekerja di asrama didapati tidak mengamalkan pematuhan SOP dan terlibat secara tidak wajar dalam kegiatan sosial yang luas di dalam atau di luar asrama.

“Syarikat diminta juga untuk bertanggungjawab dalam kes di mana pengurusan atau perumahan pekerja asing telah diserahkan kepada agensi pekerjaan.  Terdapat kes di mana keadaan perumahan yang buruk atau kekurangan pematuhan pengangkutan oleh ejen menyebabkan peningkatan jangkitan. 

“Syarikat kadang-kadang tidak sedar, tetapi kerajaan menggesa untuk meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan agensi pekerjaan dan rakan sumber luar untuk kepentingan semua.

“Syarikat diminta untuk mewujudkan ruang kuarantin asas di asrama mereka untuk memastikan bahawa kes yang disyaki, hubungan rapat dan kes COVID-19 yang disahkan dapat diasingkan / dikuarantin dengan segera dan mengurangkan risiko penyebaran lebih lanjut. Sebarang langkah segera dan jangka pendek dialu-alukan untuk mengurangkan jangkitan,” kata organisasi itu.

Ia turut memaklumkan bahawa pekerja yang tinggal di rumah bersama keluarga, mungkin juga ditawarkan untuk tinggal di fasiliti kuarantin syarikat, jika mereka dan kontak rapat disyaki atau disahkan positif.

“Dalam konteks pengangkutan, syarikat harus memastikan jarak sosial dan dengan demikian disarankan pengurangan hingga 50 peratus kapasiti setiap kenderaan,” katanya.

Pada masa sama, ia berkata, terdapat juga perbincangan mengenai kapasiti pengujian dan penjejakan kontak. 

“Mungkin ada kemas kini mengenai perkara ini dalam beberapa hari lagi. Kami memahami bahawa ini dilihat sebagai satu lagi cabaran besar dan perubahan yang mahal, namun mungkin harus dilakukan.  

“Walaupun begitu, Eurocham meminta anggotanya untuk melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan untuk mengurangkan jangkitan, memutuskan rantai dan memastikan ekonomi terbuka,”?katanya.

Rekod kes baru harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi sekali lagi, dengan 4,275 kes dilaporkan semalam.

Walau bagaimanapun, kes sembuh harian dicatatkan pda tahap tertinggi, dengan 4,313 orang dilaporkan telah sembuh.

KKM di laman webnya mengatakan bahawa kes aktif COVID-19 di negara ini kini berjumlah 42,769, sementara jumlah kes yang disahkan di Malaysia mencecah 180,455.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button