Dunia

Rasa gusar di sebalik pemindahan etnik Rohingya di Bangladesh

Bhasan Char didakwa terdedah pada bencana meski dinafikan

MIMIK muka yang menggambarkan perasaan tidak menentu semakin jelas terpancar di wajah Mohammad, salah seorang etnik Islam Rohingya Myanmar yang dipindahkan ke sebuah pulau, di selatan Teluk Bengal, Bangladesh.

Meskipun dijanjikan kehidupan yang lebih selesa di pulau diberi nama Bhasan Char itu, namun Mohammad menegaskan, peraturan ketat sedikit mengecewakan pelarian.

“Lebih tiga tahun sudah berlalu, kami masih belum dapat petanda mampu pulang ke tanah air (Rakhine) untuk menjalani kehidupan lebih baik. Kini kami merupakan pelarian yang tinggal di sebuah pulau.

“Kami diberitahu dibenarkan untuk menangkap ikan, bercucuk tanam dan berurus niaga pada skala kecil, namun kami perlu berada di bawah peraturan yang amat ketat,” katanya.

Pulau yang menjadi tempat tinggal baharu bagi 3,760 pelarian Rohingya itu terletak kira-kira 50 kilometer dari pantai barat Bangladesh atau hampir 193 kilometer dari selatan ibu negara Dhaka.

Dikenali sebagai Bhasan Char, ia adalah pulau yang terbentuk daripada timbunan tanah-tanah laut kira-kira 25 tahun lalu, dan dilaporkan lokasi tersebut terdedah kepada bencana.

Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa kumpulan hak asasi manusia antarabangsa pernah menggesa Bangladesh untuk menunda usaha pemindahan sehingga keputusan kajian berkaitan pulau berkenaan dikeluarkan pakar.

Namun begitu, pihak berkuasa Bangladesh beberapa kali menafikan dakwaan itu serta menegaskan ianya selamat untuk diduduki.

Pada awalnya, pasukan tentera laut merancang untuk menghantar pelarian Rohingya terbabit ke negara asal mereka, namun ekoran daripada penularan COVID-19 yang semakin serius memaksa usaha tersebut ditunda dan pemindahan ke sebuah pulau dilaksanakan.

Dianggarkan lebih daripada 860,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri dari Myanmar kira-kira tiga setengah tahun lalu ke kem pelarian dianggap terbesar di dunia, Cox’s Bazar.

Seorang lagi pelarian etnik Islam Rohingya yang hanya dikenali sebagai Afsar memuji kemudahan disediakan di Bhasan Char berbanding kediaman diperbuat daripada buluh di Cox’s Bazar.

“Tetapi di sini peraturannya lebih banyak berbanding Cox’s Bazar dan kami dihalang untuk bekerja, meskipun kerajaan Bangladesh sudah berjanji untuk memberikan kami kehidupan lebih baik,” katanya.

Kerajaan Bangladesh membina 120 buah bangunan kediaman bertingkat klone dan 1,400 buah rumah sebagai tempat berteduh etnik berkenaan, dengan setiap rumah dibina 16 bilik tidur.

Menurut maklumat rasmi, kerajaan membelanjakan lebih AS350 juta (RM1.4 bilion) dana dalaman untuk membina penempatan di tanah seluas 13,000 ekar.

Bagaimanapun, usaha Bangladesh itu masih dipertikai khususnya dalam kalangan pertubuhan hak asasi manusia yang bimbang akan keselamatan etnik Islam Rohingya di sana.

Kebimbangan itu bersandarkan kepada tiada satu pun organisasi antarabangsa di tempatkan di Bhasan Char, termasuk terlibat secara langsung dengan kerja-kerja pemindahan.

“Adalah lebih baik jika Bangladesh segera melaksanakan proses pemindahan dengan bantuan PBB atau mana-mana komuniti antarabangsa,” kata Pengerusi Suruhanjaya Rohingya Eropah, Ambia Parveen. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button