Berita Utama

13 suspek rampasan dadah terbesar RM201 juta didakwa esok

Polis sedang kesan saki-baki suspek yang disyaki masih bebas

JOHOR BAHRU, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Seramai 13 ahli sindiket yang dipercayai terlibat dengan rampasan dadah terbesar negara bernilai RM201 juta di bandar raya ini dua minggu lepas, dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lapan daripada mereka akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, manakala lima lagi mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Seramai 13 suspek yang akan dituduh esok adalah termasuk seorang wanita yang bekerja sebagai akauntan, yang merupakan teman wanita kepada ketua sindiket.

“Ada masyarakat awam kata tangkapan ada tetapi tiada pertuduhan, jadi saya ingin berkongsi bahawa kita bukan sahaja menjalankan operasi tangkapan dan rampasan, tetapi kita akan pastikan mereka (suspek) dituduh, insha-Allah mereka (akan) disabitkan kesalahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Bagaimanapun Ayob Khan berkata, polis masih giat menjalankan siasatan dan mengesan saki-baki suspek yang disyaki masih bebas.

Antara 8 sehingga 17 Januari lepas, polis Johor berjaya membuat 23 serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru, sekali gus membongkar aktiviti sindiket melibatkan lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah.

Hasil serbuan itu, polis menahan 17 ahli sindiket termasuk tujuh wanita tempatan berusia antara 17 dan 62 tahun, namun empat daripadanya dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button