Brunei catat rekod terbaik dunia, 261 hari tanpa jangkitan tempatan
Jumlah kes sehingga Ahad antara paling rendah peringkat global

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Brunei merekodkan 261 hari tanpa jangkitan tempatan untuk COVID-19 dan dianggap sebagai salah satu rekod terbaik di dunia.
Jumlah jangkitan sebanyak 175 kes hingga hari Ahad lepas juga merupakan salah satu yang paling rendah di dunia.
Atas usaha Kementerian Kesihatan, Menterinya, Datuk Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menerima Anugerah BRC Henry Dunant Leaders sebagai penghargaan atas kecemerlangan beliau membantu mengekang wabak COVID-19 di negara itu.
Anugerah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (BRC), Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Brunei hanya melaporkan satu kes import COVID-19 sejak Jumaat (22 Januari), menjadikan jumlah kes 175.
Kementerian Kesihatan mengesahkan, kes itu membabitkan seorang lelaki berusia 50 tahun yang tiba di Brunei pada 8 Januari dari Britain melalui Kuala Lumpur, Malaysia. – Agensi