Berita Utama

21 warga China ditahan, dalang sindiket pelaburan tak wujud

Beroperasi 2 bulan lalu, suspek dibayar gaji RM2,000 hingga RM4,000

GEORGETOWN, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Polis menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud dalam serbuan di dua premis di Batu Feringghi.

Seramai 21 individu warga China ditahan kelmarin dalam serbuan dilakukan bermula 7 malam berdasarkan maklumat awam itu.

Dalam serbuan pertama, polis menahan 13 individu terdiri 12 lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 37 tahun. manakala serbuan seterusnya lima lelaki dan tiga perempuan berusia 25 hingga 34 tahun ditahan.

Polis turut merampas pelbagai gajet termasuk 453 telefon bimbit, komputer riba (19), kabel komputer (5), kereta (2) dan sebuah Ipad bagi membantu siasatan kegiatan penipuan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, aktiviti sindiket terbongkar susulan penahanan dua lelaki masing-masing termasuk warga China dalam keadaan mencurigakan di sekatan jalan raya (SJR) di Batu Feringghi.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai menawarkan pelaburan saham atas talian disyaki tidak wujud membabitkan pelabur warga China.

“Ahli sindiket berinteraksi dengan mangsa menggunakan aplikasi WeChat bagi menawarkan pelaburan dan urusan pembayaran.

“Operasi sindiket itu dijalankan di Malaysia bagi mengelakkan dikenakan hukuman mengikut undang-undang China memandangkan mangsa adalah dalam kalangan rakyat negara terbabit,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi di negeri ini sejak dua bulan lalu dengan menyewa dua rumah dua tingkat, di sini.

Katanya, semua suspek yang ditahan menerima bayaran atau gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan bagi mencari ‘mangsa’.

“Walaupun sasaran mangsa adalah warga China, namun polis masih menyiasat sama ada terdapat warga Malaysia menjadi mangsa.

“Empat suspek warga China itu juga tiada dokumen pengenalan diri dan mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button