Berita Utama

Bioalpha sasar edar vaksin COVID-19 dari China menjelang April

Beli 100,000 dos daripada SBTC bagi kumpulan pertama, pesanan berikutnya boleh cecah hingga sejuta dos

KUALA LUMPUR, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Bioalpha International Sdn Bhd (BISB) telah memeterai perjanjian bagi mendapatkan vaksin COVID-19 dibangunkan oleh Sinovac Biotech daripada unit milik kerajaan China, Sinopharm Group Co Ltd yang disasarkan untuk pengedaran di Malaysia menjelang pertengahan April ini selepas mendapat kelulusan berkaitan.

BISB, milik penuh Bioalpha Holdings Bhd, hari ini memeterai perjanjian perolehan dan pengedaran dengan Shanghai Bukun Trading Co Ltd (SBTC) bagi mendapatkan vaksin secara sedia digunakan – sudah diisi dalam vial atau tabung kaca kecil dan tidak memerlukan pengisian dan pemprosesan akhir selanjutnya.

Pengarah Urusan Bioalpha Holdings, William Hon berkata, di bawah perjanjian dua tahun itu, BISB akan membeli sejumlah 100,000 dos daripada SBTC bagi kumpulan pertama manakala pesanan berikutnya boleh mencecah sehingga sejuta dos.

“Syarikat ini menyasarkan untuk mengedarkan vaksin itu di Malaysia menjelang pertengahan April ini, bergantung kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Menurutnya, Bioalpha akan mengemukakan permohonan kepada NPRA secepat mungkin bagi pendaftaran vaksin itu di Malaysia yang bergantung kepada data klinikal dari China, Indonesia, Turki dan Brazil.

Vaksin tersebut akan dihantar ke BISB kira-kira tiga minggu selepas pembayaran dibuat.

Beliau berkata, syarikat itu akan membiayai modal kerja projek tersebut dengan pengumpulan dana secara dalaman atau pinjaman bank dan tidak perlu menanggung perbelanjaan modal bagi mewujudkan sebarang kemudahan berkaitan.

Sejajar dengan permintaan ketara daripada sektor swasta, Hon berkata vaksin itu juga disasarkan bagi kalangan ekspatriat serta pekerja asing mewakili pelbagai industri yang disifatkan sebagai kumpulan mudah terjejas dengan virus itu.

SBTC yang menawarkan perkhidmatan perdagangan serta pembangunan dan pemindahan teknologi, adalah anak syarikat milik penuh Sinopharm (Hainan) Health Industry Co Ltd yang merupakan sebahagian daripada Sinopharm Group Co Ltd atau China National Pharmaceutical Group Corporation.

Mengulas usaha pengedaran vaksin itu, Hon berkata BISB memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Zuellig Pharma Sdn Bhd pada Jumaat lepas bagi kemudahan pengimportan, penyimpanan serta pengedaran vaksin COVID-19 di Malaysia.

Zuellig Pharma dikatakan antara pengedar terbesar vaksin di Malaysia ketika ini dengan kemudahan pengedaran penjagaan kesihatannya di Semenanjung (Lembah Klang) serta di Kota Kinabalu dan Kuching.

Selain itu, BISB turut memeterai MoU dengan iHEAL Medical Services Sdn Bhd yang memiliki serta mengendalikan iHeal Medical Centre Kuala Lumpur.

iHeal dijangka menyediakan perkhidmatan seperti mengatur aspek pentadbiran vaksin di lokasi/lapangan dengan kumpulan pengamal perubatan khusus, menyediakan ruang bagi vaksinasi besar-besaran dan menyediakan sijil vaksinasi serta perundingan profesional bagi tempoh pasca vaksinasi.

Berdasarkan perkembangan itu, Hon menjangkakan kumpulan Bioalpha mencatat peningkatan jualan bagi suku pertama 2021 dan tidak menanggung sebarang perbelanjaan modal yang ketara bag tahun ini.

Selain itu, beliau berkata syarikat nutraseutikal dan makanan tambahan kesihatan bersepadu itu turut meninjau vaksin lain, termasuk dari Sinopharm pada tahun-tahun akan datang.

“Bagaimanapun, vaksin COVID-19 ini adalah tumpuan utama kami bagi dua tahun akan datang selain vaksin halal sama ada dari Indonesia atau China,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button