Berita Utama

Guru positif COVID-19, KPM digesa perketat aspek keselamatan

Bengkel bersemuka tak wajar dilaksana tatkala kes meningkat

BANGI, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengetatkan aspek keselamatan para guru terutama ketika menjalankan tugas.

Ini susulan laporan media yang mengesahkan 11 orang guru di Terengganu positif wabak COVID-19.

Guru-guru itu dilaporkan menyertai pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Terengganu secara bersemuka.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, peraturan ketat termasuklah pemakaian pelitup muka, peralatan pelindung diri (PPE) dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“iGuru bimbang jika ada mana-mana guru yang mengajar pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan disahkan positif COVID-19, ia akan mengundang masalah kepada pelajar-pelajar dari aspek persediaan menghadapi SPM.

“Justeru langkah penguatkuasaan yang tegas perlu untuk menjamin keselamatan dan kesihatan warga guru dan para pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faktor utama iGuru menggesa pihak KPM mengutamakan aspek keselamatan guru kerana mereka adalah barisan hadapan utama pendidikan.

“iGuru berharap kejadian seperti itu tidak berulang dan tindakan mengadakan bengkel ketika kes jangkitan semakin meningkat tidak wajar dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button