ISMA, Yayasan Ikhlas agih sumbangan kepada 250 keluarga di Sabah
‘Tahniah sukarelawan, tempuh jalan berliku bantu saudara memerlukan’

BANGI, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Relawan Muda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kota Kinabalu konsisten mengagihkan sumbangan di beberapa perkampungan pedalaman sekitar Kota Kinabalu, Sabah.
Sebanyak 250 buah keluarga menerima sumbangan bahan makanan seperti ayam, telur, beras dan barangan asas lain.
Pengagihan sumbangan yang dijalankan Relawan Muda ISMA Kota Kinabalu dan Yayasan Ikhlas itu turut diberikan kepada golongan asnaf bersasar di Kampung Saga, Kampung Koelongan, Kampung Kibagu, Kampung Selambangun dan Kampung Sabang.
Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya dalam kenyataan di Facebook mengucapkan tahniah kepada pasukan sukarelawan yang komited meneruskan pengagihan bantuan kepada golongan sasar di negeri berkenaan.
“Tahniah dan syabas kepada sukarelawan yang bersusah payah menempuhi jalan-jalan dan laluan-laluan yang penuh berliku demi membantu saudara-saudara kita yang memerlukan.
“InsyaAllah kita akan terus bergerak membantu dan membela umat ini selagi mampu,” katanya.