Pendapat

Jangan banding kehidupan diri dengan orang lain!

Budaya toksik ini menghakis rasa syukur, sentiasa tak cukup

ALLAH SWT menciptakan setiap manusia berbeza, dengan kelebihan dan kelemahan yang tersendiri

Apabila kita berkahwin, suami atau isteri kita juga unik dengan kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Gabungan dua jiwa ini membentuk keunikan yang tersendiri menjadikan keluarga yang dibina berbeza dengan keluarga lain (walaupun dengan karakter peribadi yang lebih kurang sama)

Setelah dikurniakan anak-anak, setiap anak-anak juga berbeza dengan anak-anak orang lain dari segi rupa paras, kesihatan, kepandaian, kemahiran dan banyak lagi. Ini ditambah pula dengan ikatan dan keserasian antara ibu bapa dan sesama anak-anak yang juga bersifat tersendiri

Itu belum lagi dikira faktor keluarga besar, pembantu rumah, pendidikan, status dalam masyarakat, kerjaya, perniagaan, ekonomi keluarga, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain

Kesemua faktor ini menjadikan perbezaan diri dan keluarga kita dengan orang lain amat ketara. Membandingkan kehidupan kita dengan orang lain adalah satu tindakan tidak adil yang akhirnya akan menyebabkan tekanan dan memakan diri sendiri

Lebih parah, jika kita mengajarkan dan mengindoktrinasikan budaya membanding ini kepada anak-anak dengan kata-kata seperti,”Tengok anak Pak Cu tu, pandai masak dan sedap pulak tu. Bukan macam Kak Long!” atau “Kawan abang tu boleh dapat hadiah masa graduation, kenapa abang tak boleh?”

Walaupun dengan niat untuk menggalakkan dan memberikan motivasi, teknik membandingkan diri atau anak-anak kita dengan orang lain bukanlah cara yang terbaik

Cuba bayangkan jika perkara ini telah terbudaya, anak-anak kita pula yang akan membandingkan ibu bapa mereka dengan ibu bapa lain yang dilihat di dunia luar sana!

Suami juga akan mula membandingkan isteri mereka.

Perkara yang sama dilakukan oleh si isteri.

Budaya toksik ini akhirnya akan menghakis rasa syukur, membina rasa sentiasa tidak cukup dan menyebabkan tawarnya kasih sayang di antara ahli keluarga kita sendiri

Fikir-fikirkan………..

Ir. Ts. Lukman Al Hakim
Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button