Berita Utama

Kluster binaan, kilang terus meningkat, tapi dibenar operasi, prinsip apa diguna pakai?

Bezakan ‘jerung dan ikan bilis’ tak bantu kembang ekonomi rakyat

BANGI, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Walaupun kluster tapak binaan dan kilang menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan kes COVID-19, sektor berkenaan bagaimanapun masih dibenarkan beroperasi.

Hal itu menjadi tanda tanya Ketua Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad, apabila Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan dua lagi kluster baharu membabitkan tapak binaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, meskipun kluster tapak binaan menjadi penyumbang kes tertinggi COVID-19, pengoperasian sektor berkenaan masih dibenarkan, malah tiada had masa ditentukan daripada pihak kerajaan berbanding perniagaan kecil lain.

“Berbanding dengan sektor ekonomi terutama yang kecil-kecil milik marhaen yang lain dihad-hadkan masa pengoperasiannya. Malah, ada yang terus ditutup tanpa dibenarkan beroperasi.

“Apakah ini boleh disebut sebagai ‘kluster kapitalis’? Apakah prinsip yang diguna pakai?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Hazwan berkata, tindakan membeza-bezakan antara ‘si jerung’ dan ‘ikan bilis’ dalam sektor ekonomi tidak akan membantu pengembangan ekonomi rakyat, sebaliknya hanya mengenyangkan kelompok kapitalis.

“Apakah dengan penutupan kilang dan tapak binaan ini akan menatijahkan kebankrapan tauke-tauke besar?

“Kita menggesa kerajaan mengarah semua sektor binaan dan kilang ditutup sehingga kesemua pekerja disaring dalam masa yang sama isu penempatan pekerja yang menjadi salah satu punca merebaknya wabak ini diselesaikan pihak terbabit,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dua kluster tapak binaan dikenal pasti iaitu Kluster Tapak Bina Sari Petaling di Lembah Pantai dan Klusteru Tapak Bina Flora di Putrajaya.

“Kes bagi kedua-dua kluster itu dilaporkan pada 24 Januari hasil saringan bersasar pekerja tapak binaan.

“Setakat ini dua kluster berkenaan masing-masing merekodkan 44 kes dan 13 positif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button