Berita UtamaIstimewa

Rakyat mahu kerajaan laksana semula moratorium automatik

Tak perlu sampai 6 bulan, cukup 3 bulan atau hingga PKP selesai

BANGI, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Terkesan dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat meminta kerajaan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik seperti dilakukan pada Mac tahun lalu.

Tinjauan Ismaweb.net mendapati rata-rata netizen merayu moratorium dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga PKP ditamatkan.

Pengguna media sosial dikenali sebagai Murugan Muru menggesa moratorium dilaksanakan sebelum aktiviti ekonomi ditutup sepenuhnya.

Langkah itu jelasnya supaya rakyat tidak bimbang dengan tekanan hutang yang perlu dibayar.

Sementara A-Rie berkata, lanjutan moratorium secara automatik amat diharapkan oleh seluruh rakyat kerana bukan semua sektor ekonomi dibuka.

“Contohnya peniaga-peniaga yang hanya mengharapkan pendapatan dari pasar. Dan selama PKP ini semua pasar tamu ditutup.

“Pihak bank pula kenakan berbagai syarat untuk pemohon memohon lanjutan moratorium. Dan kenderaan di bawah usia kurang dari tiga tahun tidak diberi lanjutan moratorium oleh pihak bank begitu juga dengan penjadualan semula. Itu yang saya dengar rungutan dari beberapa rakan-rakan saya,” dakwanya.

Nizam Fauzi yang mendakwa bekerja sebagai pegawai bank bersetuju sekiranya moratorium dilanjutkan.

“Moratorium ini bagusnya menggalakkan perbelanjaan dalam negara. Kitaran membeli dan menjual. Saya sebagai pegawai bank pun setuju untuk moratorium ini. Ada kebaikan,” dakwanya.

“Lanjutan moraturium tak perlu enam bulan. Tiga bulan atau sehingga PKP ini selesai pun dah cukup memadai bagi kami semua.

“Dan kami pun tiada tekanan sangat seperti PKP 1.0 dulu. Walau ada tapi hanya segelintir sahaja,” demikian pula kata Shahrul Mohd.

Pada Mac tahun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah moratorium meliputi penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman korporat.

Tindakan itu secara keseluruhannya memberi kelegaan kepada seluruh rakyat, kerana rata-rata terkesan dengan wabak COVID-19 – yang kini sudah genap setahun melanda negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button