Berita Utama

Syor beri ‘voucher’ makanan, barang runcit kepada golongan rentan

Tanpa intervensi kerajaan, rakyat bukan saja akan miskin tapi hidup dalam lapar

BANGI, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar memastikan bekalan mencukupi, tetapi harga juga perlu selari dengan kuasa beli rakyat.

Ini kerana, trend kenaikan harga barangan khususnya bahan mentah sejak kebelakangan ini gmembimbangkan, apatah lagi ketika tempoh lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa satu langkah segera dilaksanakan untuk mengatasi masalah itu.

“Begitu ramai sekali rakyat Malaysia telah kehilangan mata pencarian akibat pandemik COVID-19.

“Kuasa beli segelintir rakyat berada pada tahap yang genting. Tanpa intervensi kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin tetapi juga hidup dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai kecukupan makanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan dan inisiatif pemantauan harga makanan serta bekalan barangan keperluan asas mesti segera dipertingkatkan.

Katanya, pihak kerajaan juga wajar menggalakkan dan menghulurkan bantuan untuk pertanian bandar.

“Penduduk Malaysia terutamanya mereka yang menetap di bandar boleh menerima pakai konsep edible garden di kediaman mereka.

“Gunakan tanah lapang di persekitaran rumah untuk menanam sayuran termasuk menanamnya dalam pasu,” katanya.

Menurut Mohamad, penanaman sayur di rumah mampu mengurangkan kos sara hidup seharian dan memudahkan akses kepada bekalan sayur segar tanpa bimbang penularan COVID-19 di pasaraya.

Selain itu, pemberian ‘voucher’ makanan dan barangan runcit juga boleh dipertimbangkan segera bagi golongan rentan, katanya.

“Negara maju telah lama melaksanakan intervensi ‘food stamp’ dan ‘voucher’ barangan perlu.

“‘Voucher’ sedemikian bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang paling terhimpit, ia juga dapat menjana pendapatan pemilik dan pengusaha kedai runcit.

“Bantuan tersebut secara langsung juga akan meningkatkan pengguna agregat dan membantu peniaga kecil, pengusaha pasaraya serta restoran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button