Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Uncategorized

60 peratus syarikat Bumiputera pemegang permit import daging

Kuota import mengikut kapasiti perniagaan pengimport akan dikeluarkan

BANGI, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – 60 peratus pemegang permit import (AP) daging di negara ini adalah dalam kalangan syarikat Bumiputera.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mengesahkan perkara itu berkata, peratus berkenaan diperoleh berdasarkan rekod daripada kementerian.

Katanya, kementerian akan mengeluarkan kuota import berdasarkan kepada kapasiti perniagaan seseorang pengimport.

“Saya tidak tahu (dakwaan pengimport Bumiputera dinafikan hak), tetapi dalam rekod kita (kementerian), lebih 60 peratus pengimport diberi kebenaran setakat ini dalam kalangan syarikat Bumiputera.

“Tetapi dari segi jumlah, kita tidak dapat tentukan sebab itu urusan ‘business to business’. Contohnya, berapa banyak boleh import bergantung kepada kapasiti.

“Seperti Kumpulan Ramly (Ramly) atau popular dengan nama Ramly Burger, Darabif Meat Company adalah pengimport Bumiputera yang ke hadapan dari segi kuantiti dan mampu bersaing dengan syarikat bukan Bumiputera,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, terdapat dakwaan pengimport daging Bumiputera dinafikan hak dan peluang dalam industri sejak sekian lama.

Industri bernilai berbilion ringgit itu didakwa dimonopoli dan dikawal beberapa pengimport bukan Bumiputera.

Sehingga kini, katanya, masih belum ada mana-mana syarikat disenarai hitam, namun terdapat beberapa syarikat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Selagi tiada bukti pembahagian AP melanggar syarat permit import diberikan kepada mereka, soal untuk disenarai hitam tidak berbangkit.

“Pihak kementerian akan lihat dan tunggu siasatan dan jika ada pembabitan dari segi pelanggaran syarat, sudah tentu tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka (syarikat),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button